Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan (Perikatan Nasional), mencadangkan agar kerajaan mengubah suai reka bentuk Tugu Negara supaya lebih menggambarkan wajah dan fizikal askar tempatan yang berjuang menentang penjajah demi kemerdekaan negara.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat jawatankuasa, Kalam berpendapat bahawa patung gangsa dalam monumen berkenaan yang dirasmikan pada tahun 1966 lebih menyerupai masyarakat Eropah berbanding rakyat Malaysia.

Kalau kita tengok mukanya, hidungnya mancung macam orang Eropah. Kenapa tidak ditukar kepada wajah dan bentuk tubuh lebih mirip orang Asia, orang Malaysia?
Menurut beliau, hal itu secara tidak langsung memberi gambaran seolah-olah mengagungkan penjajah, bukannya memperingati pejuang tanah air yang sebenar.
Tugu Negara ini simbol kemerdekaan negara kita. Tetapi bila wajahnya seperti orang Eropah, ia nampak seperti kita mendewa-dewakan penjajah.
Saya cadangkan agar ubah suai itu dibuat supaya ia benar-benar mencerminkan semangat keperwiraan bangsa kita.
Dalam masa sama, Kalam turut mempersoalkan mengapa Tugu Negara tidak termasuk dalam senarai kerja pemulihan bangunan bersejarah bernilai RM600 juta yang diumumkan kerajaan baru-baru ini melibatkan Carcosa Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad, dan beberapa struktur lain di Kuala Lumpur.
Saya faham RM600 juta itu bukan hanya untuk Carcosa dan Seri Negara, tetapi juga bangunan lain. Namun saya tertanya-tanya, kenapa Tugu Negara tidak termasuk?
Kalau nak jadikan kafe, berapa banyak cawan kopi kena jual untuk dapat balik RM200 juta tu? Nak jual daun ketum pun tak boleh.
Untuk rekod, Tugu Negara dibina pada tahun 1966 bagi memperingati perjuangan askar Malaysia yang gugur semasa mempertahankan tanah air, khususnya dalam era Darurat menentang komunis. Monumen ini direka oleh pengukir Amerika, Felix de Weldon, yang turut mencipta tugu Marine Corps War Memorial di Amerika Syarikat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
