Tindakan seorang wanita dikenali sebagai Kak Nab yang didakwa dihalau keluar dari restoran Rembayung mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk rasa puas hati dan sokongan terhadap pihak pengurusan premis berkenaan.
Menerusi sebuah video yang tular di TikTok, wanita itu dilihat meluahkan rasa tidak puas hati selepas dikatakan tidak dibenarkan berada di restoran milik Khairul Aming atas faktor tertentu yang dipercayai berkaitan dengan peraturan premis.
Isu itu kemudiannya berlarutan ke platform Threads apabila seorang pengguna meluahkan pandangan tegas, menyifatkan tindakan wanita berkenaan sebagai tidak menghormati peraturan dan bersikap terlalu ‘entitled’.
Luahan itu menerima sokongan ramai warganet yang bersetuju bahawa setiap premis mempunyai hak untuk menetapkan peraturan tersendiri dan pengunjung seharusnya menghormatinya tanpa menggunakan emosi atau simpati sebagai alasan.

Rata-rata netizen berpandangan bahawa jarak perjalanan jauh atau niat untuk bertemu pemilik restoran bukanlah tiket untuk melanggar garis panduan yang telah ditetapkan. Malah, ada yang menyifatkan penggunaan naratif emosi sebagai satu bentuk manipulasi untuk meraih sokongan awam.
Dalam masa sama, netizen turut mengingatkan bahawa apabila seseorang menganjurkan acara sendiri, mereka juga menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi tetamu, justeru prinsip yang sama wajar diaplikasikan ketika berada di premis milik orang lain.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
