Menyebut sahaja nama Nasi Kandar Sadam, pasti peminat hidangan popular itu sudah terbayang sepinggan nasi putih yang dibanjiri pelbagai lauk-pauk menyelerakan.
Baru-baru ini, seorang lelaki warga Jepun yang telah menetap di Malaysia selama empat tahun mencuri perhatian warganet selepas memuat naik video pengalamannya menikmati nasi kandar di salah satu cawangan terkenal itu di Segambut.

Menerusi video berkenaan, lelaki tersebut dilihat memesan sepinggan nasi bersama kuah campur, Ayam Bawang, kobis, peria goreng dan sotong. Para pekerja restoran berkenaan turut dilihat melayan setiap permintaannya tanpa sebarang masalah.
Menurut lelaki Jepun itu, ini merupakan kali pertama dia melihat hidangan nasi yang dipenuhi lauk-pauk sehingga hampir menutupi keseluruhan nasi.
Kesemua kegembiraan ini (lauk-pauk) di dalam satu pinggan. Rasa seperti di syurga.
Selepas menikmati hidangan nasi kandar yang berharga RM25, lelaki tersebut turut dihidangkan dengan minuman istimewa iaitu Teh Masala, yang melengkapkan pengalaman makanannya.
Perkongsian video itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet tempatan, dengan ramai menyatakan lelaki tersebut sememangnya mengunjungi antara kedai nasi kandar terbaik.
Ada juga yang mencadangkan supaya dia mencuba nasi kandar bersama papadom bagi menambahkan lagi keenakan hidangan itu.
Dalam masa sama, rata-rata warganet turut menyarankan agar lelaki Jepun tersebut menikmati nasi kandar menggunakan tangan, yang disifatkan sebagai ‘rahsia’ sebenar keenakan nasi kandar.
Perkongsian berkenaan sekali gus menunjukkan keunikan dan tarikan makanan tempatan yang terus mendapat tempat di hati warga asing.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

