Pelakon Linda Hashim mendedahkan menerima mesej yang dipercayai dihantar oleh suaminya, aktor Beego, yang mengandungi doa berunsur negatif termasuk berkaitan keselamatan dirinya ketika menunaikan ibadah umrah.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berkongsi semula komen yang ditinggalkan lelaki berkenaan di laman sosial miliknya.

“Nanti pergi umrah pasti ada kifarah. Baik atau buruk, sebab masih isterikan,” tulis Beego.
Difahamkan, komen yang dikirim oleh pemilik nama lengkap Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, itu merupakan balasan terhadap satu hantaran yang dibuat Linda sebelum ini.
Dalam perkongsian sama, Linda secara sinis mempersoalkan kewajaran seorang suami mengeluarkan kata-kata sedemikian terhadap isteri yang ingin mengerjakan ibadah umrah.
“Doa seorang suami pada isteri yang nak pergi ke rumah Allah,” tulisnya.
Pendedahan itu dibuat ketika Linda masih meluahkan rasa terkilan terhadap ketidakhadiran Beego pada prosiding mahkamah berkaitan kes perceraian mereka.
Terdahulu, pada Februari lalu, Linda memfailkan permohonan perceraian atas alasan tiada lagi persefahaman. Prosiding pengesahan lafaz taklik yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 16 Disember lalu terpaksa ditangguhkan ke 21 Januari 2026 susulan ketidakhadiran Beego.
Beego sebelum ini memaklumkan ketidakhadirannya adalah disebabkan menghadiri urusan kematian ahli keluarga. Bagaimanapun, Linda mendakwa pihaknya memiliki bukti kukuh mengenai punca sebenar ketiadaan suaminya pada sesi pendengaran tersebut.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.
Isu rumah tangga pasangan selebriti itu terus menjadi perhatian ramai dengan pelbagai reaksi disuarakan warganet di media sosial.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

