Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut laporan Free Malaysia Today, Fadhlina berkata beliau akan berusaha memperkukuh sistem pendidikan negara bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan (memberi) kepercayaan untuk meneruskan memimpin KPM bersama timbalan (Wong).
Kami akan buat lebih baik untuk pendidikan dan anak-anak kita.
Dalam masa sama, Fadhlina menyatakan kesediaannya untuk menerima sebarang kritikan berfakta daripada media, yang disifatkannya sebagai sebahagian penting dalam proses penambahbaikan dan pembuatan keputusan.
Media memainkan peranan penting sebagai cerminan realiti di lapangan dengan menghubungkan dasar digubal di peringkat kementerian kepada situasi sebenar yang berlaku.
Misalnya di sekolah dan komuniti, termasuk di kawasan pedalaman dan pulau. Kritikan yang jujur dan berasaskan fakta adalah suara rakyat. Ia perlu diterima dengan hati terbuka kerana daripada situlah penambahbaikan boleh dilakukan.
Sebelum ini, penganalisis politik dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan, menjangkakan Fadhlina antara individu yang berisiko tinggi untuk digantikan portfolionya susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai rombakan Kabinet Kerajaan MADANI.
Terdahulu, Fadhlina yang juga merupakan Ketua Wanita PKR pernah didesak oleh beberapa pihak untuk meletakkan jawatan susulan isu-isu sosial melibatkan pelajar sekolah.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

